Iklan Berbayar

leaderboard2 denaihati Banner

Friday, February 22, 2013

Iklan

salam

Saya ingin mengumumkan bahawa kini saya sudah aktif berblog di http://notamengajarbelajar.blogspot.com/. Jemputlah datang...

Sunday, December 30, 2012

Tukar Laluan

Seperti biasa seorang lelaki yang lebih mudah dikenali sebagai Lebai Uthman akan keluar sebelum subuh berjalan kaki untuk pergi ke surau yang tidak berapa jauh dari rumahnya.



Jarak di antara rumahnya dengan surau adalah lebih kurang 500 meter sekiranya dia menggunakan laluan pertama. Manakala, laluan yang satu lagi untuk ke surau tersebut agak jauh berbanding jalan utama.

Jalan dekat yang sering digunakan oleh Lebai Othman untuk ke surau tersebut di penuhi dengan pokok kelapa sepanjang jalan. Meskipun agak bersemak-samun jalan tersebut, dia telah terbiasa dan selesa menggunakan jalan tersebut.

Usai bersolat subuh dan membaca Al-Quran di surau, dia pun melangkah kaki untuk pulang ke rumah bagi meneruskan kerja hariannya iaitu menjual santan. Sebaik sahaja dia turun daripada tangga surau datang seorang lelaki yang sememangnya dia kenali iaitu Karim, seorang anak muda kampung yang baik pekertinya.

Dia menunggang basikal dan meluru pantas ke arah Lebai Uthman.  Dalam keadaan tercungap-cungap, dia menyapa Lebai Uthman, "Pak Lebai, tadi semasa lalu ke sini saya ternampak seorang pemuda yang tidak dikenali sedang memanjat pokok kelapa Pak Lebai. Pak Lebai kenal siapa pemuda itu?

Lebai Uthman menjawab dengan tenang, "Oh begitu. Entahlah, Pak Lebai pun tidak tahu.Terima kasih kerana memberi tahu Pak Lebai. Pak Lebai balik sekaranglah."

Karim berasa hairan dengan jawapan Lebai Uthman kerana dia sedikit pun tidak terkejut, malahan wajahnya kelihatan tenang. Di lihatnya Lebai Uthman terus melangkah pergi tetapi dia memilih laluan yang jarang digunakannya iaitu laluan ke dua.

Tindakan Lebai Uthman menambah kepelikan diri Karim. Lantas, dia bertanya Lebai Uthman, "Kenapa Pak Lebai memilih jalan ini? Bukankah laluan itu yang sering digunakan oleh Pak Lebai?"

Lebai Uthman menoleh ke arah Karim. Lalu dia menjawab soalan Karim sambil tersenyum, " Pak Lebai tidak mahu pemuda yang memanjat pokok kelapa itu melihat Pak Lebai kerana bimbangkan dia. Sekiranya dia ternampak dan terkejut, mungkin dia akan terjatuh. Nanti susah pula keluarga yang bergantung harap kepadanya."

Fikirkan

Allah SWT mengurniakan kelebihan dan darjat yang tinggi kepada manusia yang begitu bermurah hati dan gemar memberi. Amalan memberi merupakan tanda seseorang itu bersyukur kepada Ilahi. Semakin tinggi kesyukuran seseorang kepada Ilahi, Inysa-Allah akan bertgambah rezeki.
Enhanced by Zemanta

Wednesday, December 26, 2012

Kerana Terlewat

Biarpun kehidupan Pak Ali boleh dikategorikan sebagai sederhana sahaja, namum begitu dia tetap bersyukur dan rajin berusaha. Pekerjaan yang dilakukan bagi mencari nafkah untuk keluarganya adalah dengan menjual nasi lemak pada waktu pagi. Manakala pada waktu petang pula dia akan menjual laksa dan mee rebus yang dimasak sendiri oleh isterinya. Di samping itu, dia turut melakukan kerja-kerja seperti menebas rumput atau meracun sekiranya dia tidak berniaga.

Nasi lemak
Nasi lemak (Photo credit: Wikipedia)
Umurnya yang mencecah 45 tahun kini sudah dikurniakan dengan empat orang anak yang kadang-kadang turut membantunya di gerai tersebut sekiranya ada kelapangan atau cuti sekolah. Isterinya pula akan menyediakan kelengkapan yang perlu di bawa oleh suaminya untuk berniaga. 

Sudah menjadi rutin Pak Ali pada setiap hari, dia akan memulakan pekerjaannya seawal pagi setelah selesai bersolat subuh secara berjemaah di masjid berdekatan dengan gerai yang disewanya sejak sekian lama. Perniagaan kecil-kecilan itu biasanya berlangsung dari jam 6.15 pagi sehingga jam 12.15 petang. Kemudian, dia akan datang ke gerai yang sama untuk menjual laksa dan mee rebus lebih kurang jam 3.30 petang. Hasil pendapatannya setiap hari buat setakat ini dirasakan oleh mereka sekeluarga sudah mencukupi untuk meneruskan kelangsungan hidup.


Pak Ali juga merupakan orang di senangi oleh kenalan dan rakan tetangga kerana dia merupakan seorang yang baik hati dan tidak lokek dalam memberi bantuan. Aktiviti-aktiviti di masjid seperti gotong-royong dan menjayakan majlis ilmu seringkali terlihat kelibat Pak Ali yang turut serta walaupun dia bukannya salah seorang ahli jawatan masjid.

Pada suatu pagi, di saat dia dan ahli keluarganya masih tidur nyenyak dibuai mimpi. Pak Ali dikejutkan dari lena dan bingkas bangun apabila menyedari pintu rumahnya diketuk. Dari dalam rumah dia bertanya, "Siapa di luar?"

"Saya Ramli! Tolong buka pintu Pak Ali" jiran sebelah rumahnya Ramli memanggil dengan nada yang tergesa-gesa.

Menerusi suara dan nama orang itu, Pak Ali sememangnya mengenali orang tersebut, lalu dia pun membuka pintu rumahnya. "Kenapa dengan kamu ini Ramli?" soal Pak Ali.

"Tolong Pak Ali, isteri saya sudah hampir bersalin. Dia sedang kesakitan sekarang ini. Kereta saya rosak malam tadi. Saya tidak tahu bagaimana hendak bawanya ke hospital." jawab Ramli.

"Bawa bertenang, In Sya Allah, saya akan tolong bawakan isteri kamu. Kami balik dahulu, nanti saya akan sampai" jawab Pak Ali tanpa berfikir panjang.

Lantas, Pak Ali mengajak isterinya yang baru sahaja bangun dari tidur untuk turut serta membantunya pergi ke hospital. Dengan mengenakan pakaia dan  mengambil barang keperluan yang penting sahaja dia bergegas menghidupkan enjin kereta Proton Saga lama yang sering digunakannya untuk berniaga.

Kemudian, dia bersama isterinya begerak menuju ke rumah Ramli yang tidak tidak jauh dari rumahnya. Dari jauh, mereka nampak Ramli yang sendang membantu isterinya berjalan keluar dari rumah. Apabila Ramli dan isterinya masuk ke dalam kereta, dia pun memandu keretanya ke hospital berdekatan dengan berhati-hati walaupun agak laju kerana  bimbangkan keadaan isteri Ramli.

Alhamdulillah syukur, isteri Ramli selamat melahirkan anak lelaki lebih kurang jam 9.30 pagi. Pak Ali berkata kepada Ramli. "Alhamdulillah, isteri kamu sudah selamat melahirkan anak. Anak kamu pun dalam keadaan stabil. Saya rasa saya perlu balik ke rumah dahulu kerana semua persiapan untuk saya berniaga hari ini telah siap sedia sejak malam tadi. Kalau saya tidak menjual pada pagi ini rosak pulak semua bahan untuk nasi lemak."

"Maafkan saya Pak Ramli kerana terpaksa mengganggu waktu Pak Ali untuk berniaga. Biasanya Pak Ali sudah menjalankan perniagaan awal pagi lagi" ujar Ramli.

"Tidak mengapalah. Hari ini hari kamu, hari saya tidak tahu bila lagi. Kamu jangan bimbang. Rezeki kita bukan milik kita tetapi milik Allah SWT." jelas Pak Ali.

Pak Ali pun balik bersama isterinya ke rumah. Meskipun hari sudah agak tinggi untuk dia membuka gerainya, tetapi Pak Ali tidak merasa gundah kerana dia berdoa dan yakin dengan rezeki yang telah ditentukan Allah SWT. 

Kemudian, Pak Ali pun membuka gerainya dan menjual nasi lemak seperti biasa. Dia sempat melihat rakan-rakan yang turut berniaga berdekatan dengan gerainya. Ada yang tinggal separuh dan ada yang tinggal lagi suku sahaja lagi. Pak Ali tetap terseyum walaupun hari ini dia terpaksa memulakan perniagaanya pada jam 10.30 pagi.

Tidak berapa lama kemudian lalu sebuah kereta Persona hitam di hadapan gerainya dan berhenti tidak jauh dari situ. Kelihatan seorang lelaki berpakaian kemas keluar daripada keretanya lalu menuju ke gerai Pak Ali.

"Berapa harga nasi lemak ini?" soal lelaki tersebut.

"Seringgit satu." jawab Pak Ali.

"Oh begitu, tolong bungkus semua nasi ini. Saya hendak buat jamuan sedikit, tidak sempat nak tempah semalam." ujar lelaki itu.

Setelah lelaki itu membayar harga nasi lemak , air mata Pak Ali merentasi pipinya tanpa sedar. Dalam hatinya dia berkata, "Alhamdulillah syukur, kekuasaanMu semakin jelas di hadapan mata ku ya Allah. Hari ini Pak Ali tidak perlu menunggu sehingga jam 12.15 petang untuk menjual nasi lemak, dia hanya duduk di gerainya selama setengah jam sahaja.

Fikirkan

Sememangnya rezeki setiap anak Adam telah ditentukan oleh yang Maha Pemberi Rezeki. Perkara pokok yang perlu ada dalam diri  kita adalah keyakinan kepada Allah SWT. Kita tidak perlu risau akan rezeki kita, tetapi kita perlu risau jika kita tidak berusaha dan berdoa.
Enhanced by Zemanta

Monday, December 24, 2012

Motosikal Berkuasa Besar

Sejam selepas solat zohor, Amir menunggang motorsikal Yamaha yang baru dibelinya dua bulan lepas. Niatnya hendak ke supermarket yang tidak jauh dari rumahnya untuk membeli beberapa jenis barang dapur yang dipesan oleh ibunya. Perjalanan yang diperlukan olehnya lebih kurang dua puluh minit. Sebelum dia bergerak pergi, ibunya sempat berpesan agar dia menununggang motosikalnya dengan berhati-hati.



Setibanya di supermarket, dia mencari parkir motosikal yang telah disediakan untuk meletak kenderaannya itu. Ruang untuk meletakkan motosikal hanya tinggal satu sahaja iaitu bersebelahan dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi. Setelah itu, dia pun berjalan menuju ke pintu masuk supermarket.

Saat dia berjalan menuju ke pintu masuk, dia berselisihan dengan seorang lelaki berbadan sasa, berkulit hitam manis, wajahnya berjambang, berkaca mata hitam dan berambut panjang mencecah bahu. Lelaki tersebut juga menggalas sebuah beg kulit kecil di sebelah bahu kirinya.

"Nampak macam seorang penjahat sahaja lelaki itu." terlintas di fikiran Amir tatkala menjeling kepada lelaki yang sedang berjalan keluar dari pintu supermaket itu. Dari jauh, Amir masih memerhati lelaki tadi yang berjalan menuju ke parkir motorsikal. 

Rupa-rupanya, motosikal berkuasa tinggi yang berada di sebelah motosikalnya adalah milik lelaki tersebut. "Oh, motosikal dia rupanya. Sudahlah seperti gangster, berlagak pulak," hati Amir masih tidak berpuas hati.

Dia kemudiannya memasuki supermarket untuk membeli barangan yang telah dipesan oleh ibunya. Setelah semua barangan yang hendak dibeli dia pun pulang ke rumah.

Dalam perjalan pulang ke rumah, dilihatnya jam di tangan. "Waktu asar sudah semakin hampir, lebih baik aku singgah di masjid dahulu. Boleh aku bersolat secara berjemaah." fikir Amir.

Masjid yang tersergam indah terletak di sebelah kanan jalan besar. Dia terpaksa melintas jalan untuk memasuki masjid tersebut. Setibanya di perkarangan masjid azan Asar pun berkumandang. Dia pun cepat mencari parkir motosikal untuk meletakkan kenderaanya. 

Tiba-tiba hatinya tersentak kerana motosikal yang dilihat di supermarket turut berada di masjid itu.Dia biarkan sahaja. Pada fikirannya boleh jadi motosikal itu ditunggangi oleh orang lain. 

Usai berwuduk, dia pun melangkahkan kaki memasuki dewan solat masjid itu. Para jemaah telah bersiap sedia untuk melakukan solat jemaah. Langkahnya dilajukan supaya dia tidak ketinggalan rakaat pertama solat Asar.

Alhamdulillah, dapat juga dia bersama-sama iman untuk rakaat pertama. Setelah selesai berdoa, para berjemaah bangun bersalaman. Dia tidak ketinggalan bagi melaksakan amalan yang baik ini.

Sekali lagi dia terkejut, kerana dalam kalangan para jemaah di masjid itu terdapat seorang pernah dilihatnya di supermarket tadi turut bersalaman denganya sambil tersenyum. Orang itu adalah lelaki berbadan sasa, berkulit hitam manis, wajahnya berjambang, berkaca mata hitam dan berambut panjang mencecah bahu yang dilihat tadi. Kali ini wajahnya lebih kemas kerana kepalanya di tutup dengan kupiah putih.

Kemudian daripada itu, dilihatnya lelaki itu berhenti di tepi tiang masjid yang menyediakan peti derma dan memasukkan duit ke dalam peti itu.

"Astagfirullahal'azim...," serta-merta terpancul kalimah taubat di mulut Amir. Dia begitu menyesal kerana bersangka buruk terhadap lelaki itu.

Fikirkan

Kita tidak boleh bersangka buruk dengan makhluk Allah SWT. Apatah lagi, bersangka buruk dengan Pencipta makhluk.

Siapalah saya untuk bersungka buruk dengan orang lain. Adalah lebih baik, kita merenung diri kita yang sering lalai dengan perintah Allah SWT.


Friday, December 21, 2012

Jalan singkat

Aiman duduk bersila mengadap ayahnya yang juga bersila dengan penuh sopan. Di hadapan mereka ada sebuah mukhaddam yang diletak di atas sebuah rehal kayu. Mereka telah siap sedia untuk memulakan pangajian muqaddam.


Aiman pun memulakan bacaan muqaddam dengan menyebut nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang. Setelah itu, ayahnya menyuruh Aiman ikut satu persatu sebutan yang bakal disebut olehnya. Aiman yang masih baru belajar mengikut sebutan yang dibunyikan ayahnya perlahan-lahan kerana belum mahir. 

Setiap kali sebutan yang tidak kena pada makhraj yang betul si ayah akan menyuruh Aiman mengulanginya lagi sehingga benar-benar sebutannya menjadi. Begitulah cara yang digunakan oleh ayah Aiman dalam mendidiknya membaca muqaddam.

Biarpun, Aiman seolah-olah tidak menyenangi cara pengajian sebegitu, namun dia terpaksa akur kerana mentaati guru yang mengajarnya. Apatah lagi yang mengajarnya mengaji itu adalah ayahnya sendiri.

Hampir empat puluh minit masa berlalu mereka berdua melakukan proses pengajian muqaddam. Kemudian daripada itu, ayahnya menyuruh Aiman berhenti dan menyimpan kembali muqaddam dan rehal kayu di tempat asalnya. 

Sebelum bangun, Aiman bertanya kepada ayahnya, "Ayah, kenapa susah sangat hendak jadi pandai membaca Al-Quran? Tidak ada jalan singkat untuk belajar kah?"

Ayahnya tersenyum dan cuba menjawab persoalan anaknya itu," Sebelum ayah menjawab soalan kamu, ayah ingin bertanya, adakah adik kamu sekarang ini boleh berjalan kaki seperti kamu."

Aiman agak terkedu dengan soalan ayahnya itu, tetapi dia masih mampu menjawabnya dengan spontan." Sudah tentu dia tidak boleh berjalan lagi, sedangkan hendak merangkak pun belum tentu boleh sebab umurnya baru dua bulan. Aiman rasa, adik perlu meniarap dan merangkak dahulu, barulah dia boleh berjalan."

"Begitulah juga dengan mengaji Al-Quran. Sekiranya hendak pandai membaca Al-Quran, Aiman perlu bermula dari mengenal huruf hijaiyah terlebih dahulu. Kemudian, kita perlu belajar muqaddam sehingga habis. Setelah itu, barulah kita mula membaca Al-Quran. Inn Sya Allah, setelah kamu melalui proses tersebut dari satu peringkat ke satu peringkat, kamu boleh pandai membaca Al-Quran." jelas ayah Aiman.

"Maksudnya, tidak ada jalan singkat untuk belajarlah?" soal Aiman lagi.

"Pandai pun." sahut ayah dengan ringkas.

"Kalau begitu, bila saya boleh pandai mengaji al-Quran? tanya Aiman sekali lagi.

"Kalau kamu hendak cepat pandai, kamu kena rajin berusaha dan berdoa. Moga-moga Allah SWT mudahkan kamu belajar dan pandai mengaji al-Quran."ujar ayah.

Fikirkan

Secara adat atau kebiasaanya, apa yang berlaku di atas muka bumi ini ada proses yang telah Allah SWT tentukan. Misalan yang mudah untuk difikirkan adalah perihal makan. Seandainya kita hendak  makan, kita perlu sediakan bahan makanan dan bahan makanan itu pula perlu diletakkan di atas pinggan atau mangkuk. Setelah semua persiapan makanan telah tersedia, makanan itu tidak akan dapat masuk ke dalam mulut sekiranya kita tidak menyuapnya. Seterusnya makanan itu hanya berada di dalam mulut sahaja sekiranya kita tidak kunyah dan menelan ke dalam perut. Di sini jelaslah bahawa, kita tidak boleh sekadar berdoa sahaja untuk mencapai sesuatu perkara. Sebaliknya usaha perlu seiring dengan doa.

Simple Template edited by Blogger Malaysia :: Powered by Blogger